PETALING JAYA, DISEMBER 24: MENCABAR..Pengguna perlu membayar lebih banyak untuk barang makanan tahun depan berikutan ekonomi yang lembab disebabkan kelemahan ringgit, kata seorang aktivis pengguna.

Jacob George, yang mengetuai Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) berkata, Putrajaya boleh mengurangkan kesannya ke atas pengguna dengan meningkatkan tindakan terhadap aktiviti sorok, penyeludup dan pihak yang terlibat dalam manipulasi harga.

Beliau berkata, harga barang tidak akan turun.

“Ia merupakan trend sejagat apabila berlaku peningkatan kos barangan dan perkhidmatan.

“Tahun depan akan menjadi tahun mencabar kepada pengguna Malaysia,” katanya.

George, seorang aktivis pengguna selama lebih 40 tahun berkata, kerajaan tidak akan dapat mengawal harga sepenuhnya, tetapi boleh memastikan “tangan-tangan gelap” tidak memanipulasi pasaran.

“Perancangan strategik perlu bagi menghentikan penyeludupan dan penyorokan barang makanan serta pemantauan harga,” katanya.

Beliau berkata, kegembiraan atas kemenangan pilihan raya umum lepas kini bertukar menjadi kemarahan berhubung “pelbagai isu”, termasuk harga barang.-MY WD