SEREMBAN, 1 Mac -Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kenaikan harga minyak tidak akan menjejaskan
program turun harga barangan di pasar tani seluruh Negara.

Menurut beliau, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kementeriannya akan
tetap meneruskan program yang melibatkan minimum 73 barangan dengan penurunan
harga minimum sebanyak lima hingga 20 peratus.

“Harga ini lebih murah berbanding di pasar lain, itu akan kita kekalkan.
Jadi para peniaga kena konsisten. Bila harga minyak turun tempoh hari, peniaga
kata itu tidak memberi sumbangan yang besar kepada kenaikan atau penurunan
harga.

“Jadi, sekarang ini harga minyak naik, jangan jadikan alasan harga minyak
pula untuk menaikkan harga barang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri
program pemimpin bersama pemasar di Pasar Tani Paroi Jaya di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam
mengumumkan harga petrol dan diesel naik 25 sen seliter mulai tengah malam tadi
menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97
RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter.

Ismail Sabri berkata pengguna boleh membuat aduan dengan pegawai urus setia
di setiap pasar tani sekiranya mendapati harga barang di pasar berkenaan tidak
mengikut seperti yang ditetapkan.

“Peniaga pasar tani yang tidak patuh dengan arahan boleh dikeluarkan dan
kami tidak berkompromi dalam perkara ini.

“Setakat ini, semuanya berjalan baik dan peniaga pasar tani mematuhi arahan
yang dikeluarkan,” katanya.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY