GUA MUSANG, JULAI 11: Harga durian musang king merudum sehingga 50 peratus sejak awal bulan ini berikutan lambakan buah berkenaan di pasaran sekarang.

Daripada harga pasaran RM60 sekilogram turun kepada RM30 hingga RM20 sekilogram namun harganya dijangka stabil sebelum akhir bulan ini.

Pengusaha kebun durian musang king di sini, Chong Yok Fon, 50, atau lebih dikenali Tina Chong berkata, kejatuhan harga durian bukan saja berlaku di negeri itu tetapi juga di Pahang.

Pengusaha wanita itu berkata, kebiasaannya kejatuhan harga durian musang king tidak mengambil masa lama untuk pulih semula.

Katanya, faktor utama kejatuhan harga durian jenis itu disebabkan permintaan kurang dan persaingan harga dengan durian jenis lain yang semakin berlambak di pasaran.

“Minggu ini juga harga pasaran durian jenis itu semakin baik apabila naik semula antara RM30 hingga RM40 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tina Chong yang mengusahakan kebun durian lebih 10 tahun lalu berkata, dia memiliki kebun durian seluas 20 hektar di Kampung Pulai.

Katanya, lebih 500 pokok durian musang king terdapat di kebunnya yang sebahagian besarnya di eksport ke Singapura, Hong Kong, China dan Taiwan.

“Terdapat 4,000 biji durian musang king di kebun yang menunggu untuk gugur mulai minggu depan dan persiapan dilakukan untuk pasaran eksport,” katanya.

Katanya, dia juga turut menanggung kerugian apabila ratusan durian musang king yang belum masak jatuh disebabkan dahan patah.

“Terdapat durian yang belum masak jatuh berselerak dan sukar dikawal terutama apabila berlaku ribut,” katanya.-MY WD