KUALA LUMPUR, OKTOBER 16: HARGA ROKOK…Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini mengumumkan harga rokok akan dinaikkan mulai bulan depan manakala usia minimum untuk membeli alkohol juga akan dinaikkan dari 18 kepada 21 tahun.

Selain itu, kedai menjual alkohol juga perlu mempamerkan notis “minuman arak boleh membahayakan kesihatan”.

Katanya, harga produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan apabila terdapat mana-mana cukai dinaikkan berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok kena dinaikkan.

“Atas sebab itu, di bawah Peraturan A harga perlu dinaikkan daripada harga yang terikat ketika ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen, hari ini.

1 September lalu, kerajaan melaksanakan akta SST dengan cukai jualan ditetapkan 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

Selaras dengan peraturan baru itu, Dr Dzulkefly berkata, penganjur Oktoberfest wajib mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ pada semua label produk dan kabinet jualan minuman beralkohol.

“Selaras dengan pindaan peraturan baharu ini juga, penganjur Oktoberfest terikat dengan apa yang ditetapkan kementerian.

“Saya akan bertemu dengan penganjur Oktoberfest untuk mengingatkan mereka agar mematuhi peraturan baru ini,” katanya.-MY WD