BAGAN DATUK, 25 Mei – Hargai….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, guru harus dihargai setiap hari dan sepanjang masa, bukannya ketika sambutan Hari Guru sahaja.

Ahmad Zahid menegaskan apabila guru sentiasa diberi penghargaan, ia sekali gus meletakkan kerjaya itu dalam status sosial yang tinggi.

“Selain hormat ibu bapa, Rasulullah juga menyuruh kita hormat kepada guru,” katanya ketika merasmikan Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak 2017 di sini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh juga berkata, guru adalah pemimpin pendapat dalam masyarakat dan sekolah, maka setiap pendapat yang dikemukakannya sama ada baik atau tidak, pasti akan menjadi ikutan.

Oleh itu, katanya, adalah penting kepada guru sentiasa memiliki akhlak dan keperibadian yang baik agar menjadi ikutan ahli keluarganya serta masyarakat sekeliling.

“Guru harus menunjukkan contoh terbaik sebelum dapat menyebar luaskan ilmu kepada anak murid.

“Kita harus menunjukkan tanggapan yang baik diri kita terhadap orang lain,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris. – WD MY