KUALA LUMPUR, 12 JUN – BUSUK….. Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menggesa rakyat Malaysia “mengalihkan pandangan” daripada berita buruk berkenaan politik negara.

Kenyataan itu susulan tersebarnya video seks yang menyasarkan seorang menteri serta pengakuan seorang lelaki yang mengatakan dirinya terlibat dalam video itu.

“Politik ialah profesion yang sukar. Ada kala ia kotor. Ada kala ia sangat kotor. Hari ini ia busuk sebusuknya (Today it stinks to the high heaven).

“Jika anda terlihat berita buruk berkenaan politik kita hari ini, alihkan pandangan. Hal seperti ini semakin marak apabila diberi perhatian,” katanya menerusi Instagram Story hari ini.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, kenyataan Khairy itu selepas tersebarnya klip video memaparkan dua lelaki berada di katil dalam keadaan intim, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Sekitar 1.25 pagi semalam, beberapa wartawan Malaysiakini dijemput menyertai dua kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Hari Raya ###” di mana tiga klip video tersebut dikongsikan.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Awal pagi ini Setiausaha Sulit Kanan Shamsul Iskandar Md Akin, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi tersebut.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku pada 11 Mei lalu i sebuah bilik hotel di Sandakan dan video itu dirakam tanpa kebenarannya. – WD MY