KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
Hari Kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik sekalipun
terdapat perbezaan pendapat atau fahaman.

Merujuk kepada sebuah perhimpunan yang dirancang diadakan pada masa dan
tempat persediaan sambutan Hari Kebangsaan akan dijalankan, Najib berkata
penganjur perhimpunan sepatutnya memilih waktu dan kawasan yang tidak mencetus
provokasi.

“Dalam masa beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan yang
ke-58. Ia hari di mana semua rakyat mengenepikan perbezaan dan sama-sama
meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cinta akan negara.

“Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu
hampir dengan hari kemerdekaan kita? Fikirkanlah,” katanya menerusi siaran audio
yang dimuat naik di laman web www.najibrazak.com hari ini.

Perdana Menteri berkata rakyat harus sedar bahawa ramai pihak yang berhak
menerima penghormatan dan penghargaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Ia termasuk wira-wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan
sehinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan
yang bertungkus lumus membuat persediaan meraikan Hari Kebangsaan, katanya.

Polis mengisytiharkan perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan hujung
minggu ini sebagai haram kerana tidak memenuhi syarat apabila pihak Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di
sekitar ibu kota khususnya Dataran Merdeka. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY