KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pendekatan….. Dalam usaha mendekatkan lagi dengan masyarakat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengorak langkah menganjurkan Hari Mesra Pelanggan PTPTN buat julung kalinya secara serentak di seluruh negara, kelmarin.

Selain menyediakan pelbagai aktiviti, PTPTN turut dapat menyampaikan maklumat secara terus kepada masyarakat terutama produk baharu, SSPN-i Plus yang menawarkan simpanan masa depan untuk pendidikan selain turut menyediakan perlindungan takaful yang murah.

Malah, ia bukan hanya sekadar menawarkan simpanan dan perlindungan takaful, SSPN-i Plus juga satu-satunya pelan simpanan yang mempunyai pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000.

Bagi menggalakkan penabungan, PTPTN turut melaksanakan Cabutan Wow! SSPN-i Plus dengan menawarkan lebih 300 hadiah menarik bernilai RM1.5 juta untuk dimenangi termasuk Proton Perdana, Toyota Vios, Honda Jazz, motosikal Kawasaki serta hadiah sagu hati RM2,000.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kewujudan SSPN-i Plus sememangnya menepati cita rasa kebanyakan masyarakat di negara ini terutama yang beragama Islam kerana ia adalah skim simpanan takaful yang sentiasa berpandukan kepada sistem kewangan patuh syariah.

“Mereka bukan sahaja melabur untuk tujuan pendidikan, namun turut memperoleh dividen amat kompetitif sebanyak empat peratus tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah kelmarin. – WD MY