PORT DICKSON, SEPTEMBER 29:PENAMAAN….Cuaca cerah di Bandar Peranginan Pantai Negara ini dimeriahkan dengan kehadiran ratusan penyokong calon yang akan menghantar borang penamaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, pagi ini.

Seawal jam 7 pagi, sebahagian kecil penyokong sudah mula memenuhi kawasan berhampiran bangunan MPPD, manakala kumpulan lebih besar yang akan berarak mengiringi calon masing-masing berkumpul di beberapa lokasi tidak jauh dari dewan itu.

Kumpulan penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kebanyakannya berpakaian baju dan kemaja-T kombinasi warna biru, putih dan merah, berkumpul di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson.

Sementara itu, kumpulan penyokong bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang akan bertanding sebagai calon Bebas dan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) masing-masing berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad di sini.

Semua penyokong kelihatan teruja dan bersemangat, dengan ada segelintir mereka sudah mula menyanyi dan melaungkan nama calon, namun keadaan masih terkawal tanpa sebarang kekecohan atau insiden tidak diingini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh penghantaran borang penamaan calon bagi PRK ini bermula jam 9 hingga 10 pagi.

Buat masa ini, semua calon belum tiba di dewan berkenaan.-MY WD