KUALA LUMPUR, 8 Mac – Harun Salim Bachik, pelakon komedi terkenal,
meninggal dunia selepas dilaporkan rebah secara tiba-tiba di kawasan Rehat dan
Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak petang tadi.

Bekas Timbalan Presiden Seniman, Elyas Iskandar Ismail berkata beliau
dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi anggota keluarga Allahyarham yang
ketika itu berada bersama-sama arwah di lokasi kejadian.

“Arwah rebah secara tiba-tiba kira-kira 4.15 petang tadi ketika hendak ke
bilik air di R&R tersebut. Arwah ketika itu dalam perjalanan pulang dari Pulau
Pinang ke ibu negara bersama-sama isteri serta anak-anaknya selepas menghadiri
majlis kenduri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Elyas berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri serta
anak-anaknya dan jenazahnya kini berada di Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang malam ini ke rumahnya di No 35 Jalan
Perdana 5/3, Taman Pandan Perdana di sini, katanya.

Bagaimanapun, Elyas tidak dapat mengesahkan sama ada jenazah Harun akan
dikebumikan malam ini atau keesokan hari.

Allahyarham atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim, 55, merupakan
anak kepada seorang pelakon zaman 50-an iaitu Salim Bachik dan mula dikenali
melalui drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan awal 90-an.

Selain itu, Allahyarham pernah menjadi Presiden Seniman pada penggal
2010/2011 dan antara filem lakonannya ialah Man Laksa, Baik Punya Cilok dan Apa
Kata Hati.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY