ROMPIN, 18 April – Barisan Nasional (BN) menamakan pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.

Pemilihan bekas timbalan Menteri Besar Pahang itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah di Pusat Operasi Jentera BN, Muadzam, di sini Sabtu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, bagi menunaikan tanggungawab yang menuntut kepada gerak kerja yang lebih kuat, BN mengetengahkan tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi bagi penduduk Rompin.

“Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Hasan paling sesuai dan layak untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran parti dan kerajaan,” katanya.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, “Jadi kita fikir adalah sesuai untuk beliau meneruskan tradisi yang telah dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana penerimaan penduduk tempatan adalah baik dan saya rasa ini adalah pilihan tepat.

“Harapan kita adalah pengundi akan terima Datuk Hasan sebagai Anggota Parlimen kerana mereka telah biasa dengan beliau maka mudah untuk kemukakan apa sahaja isu dan permasalahan penduduk Rompin,” kata Muhyiddin.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY