KUALA LUMPUR, OKTOBER 15:HASIL BERKURANG…Kementerian Kewangan berkata hasil kerajaan berkurang sebanyak RM21 billion bagi 2018 apabila ia melaksanakan kembali sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menterinya, Lim Guan Eng berkata anggaran kutipan SST bagi tahun ini untuk tempoh September sehingga Disember 2018 adalah sebanyak RM4 bilion.

“Sehubungan itu, kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi 2018,” katanya di sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan serta strategi kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan itu.

Beliau berkata, sebahagian daripada pengurangan kutipan GST itu akan diimbangi oleh tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkatan harga minyak mentah purata kepada AS$70 satu tong (Brent) berbanding andaian AS$52 satu tong yang diguna pakai dalam Bajet 2018 – MY WD