TEHRAN, 20 Mei – Kekal…. Presiden Hassan Rouhani mencatatkan kejayaan membanggakan pada pilihan raya Iran hari ini, apabila pengundi menyokong usahanya membina hubungan dengan negara luar dan memulihkan kelembapan ekonomi.

Menteri Dalam Negeri Iran, Abdolreza Rahmani Fazli, mengesahkan keputusan itu menerusi televisyen, berkata Rouhani mendapat 23.5 juta undian bersamaan 57 peratus berbanding 15.8 juta atau 38.3 peratus yang diperoleh pencabarnya, Ebrahim Raisi.

Jumlah keluar mengundi sebanyak 73 peratus, selepas pihak berkuasa melanjutkan proses pengundian selama beberapa jam.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Iran yang mencipta epik besar dan tidak dapat dilupakan dalam meneruskan laluan ‘bijaksana dan harapan’,” kata Naib Presiden Eshaq Jahangiri, dalam Twitter, merujuk slogan kerajaan.

Rouhani, ulama berhaluan sederhana berusia 68 tahun yang menerajui perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa dunia, menyifatkan pilihan raya itu sebagai pilihan antara kebebasan sivil lebih baik dan ‘ekstremisme’.

Raisi, 56, meletakkan dirinya sebagai pembantu penduduk miskin dan menggesa pendirian lebih tegas dengan barat.

Namun retorik revolusi dan usaha menarik perhatian pengundi bekerjaya dengan janji menaikkan pemberian tidak begitu mendapat sambutan.

“Undian untuk Rouhani, terutama di kawasan terpencil, menunjukkan penduduk Iran tidak lagi percaya dalam populisme ekonomi dan perubahan radikal,” kata penganalisis bagi kumpulan pemikir International Crisis Group, Ali Vaez. – WD MY