SERDANG, 24 Okt – ┬áPILIH….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia yang membantu pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh perlu berhati-hati dalam memilih rakan NGO tempatan di negara itu.

Ini bagi memastikan NGO rakan kongsi tempatan dipilih itu diiktiraf pihak Bangladesh.

Ahmad Zahid yang sebelum ini meninjau kem pelarian Rohingya di Bangladesh, berkata kerajaan memutuskan melantik seorang Atase Kemanusiaan, untuk menyelaraskan semua bantuan dari Malaysia.

Pegawai dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan ditempatkan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, akan menyelaraskan bantuan kemanusiaan dari pihak kerajaan dan NGO.

“Walaupun niat baik, kalau salah pilih rakan kongsi NGO akan timbulkan masalah antara kita dengan tuan rumah.

“Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang benarkan NGO Malaysia (hantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh) sebagai NGO yang pertama hantar bantuan ke Cox’s Bazar,” katanya kepada media selepas Dialog Transformasi Nasional 2050 Kluster Keselamatan Bersama Belia di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Dialog TN50 yang dihadiri lebih 2,000 peserta dan disaksikan lebih 35,000 penonton secara ‘live streaming’ di Internet.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ditanya mengenai masalah NGO Malaysia untuk menyalurkan bantuan di Bangladesh dengan memastikan kerjasama dengan NGO tempatan diiktiraf.

Bangladesh sebelum ini mengharamkan tiga NGO, termasuk dua NGO antarabangsa daripada beroperasi di Cox’s Bazar antara lain atas faktor keselamatan.

Bangladesh juga dilaporkan memberi lampu hijau kepada Malaysia membina hospital medan di Cox’s Bazar, selain negara seperti Turki turut menyatakan hasrat sama.

Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Turki berkongsi matlamat yang sama dalam isu Rohingya supaya semua bantuan kemanusiaan dan desakan di peringkat antarabangsa disatukan.

Katanya, perkara itu dinyatakan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam pertemuan tertutup di Istanbul sempena Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8), sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata ini bagi memastikan Myanmar menerima kembali pelarian Rohingya ke negara asal mereka.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 600,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu susulan operasi tentera di barat Myanmar. – WD MY