PUTRAJAYA, 5 Okt – FAHAMI…… Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata isi kandungan kitab suci al-Quran perlu dihayati dan difahami dengan jelas oleh umat Islam bagi mengelak perpecahan dan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Sehubungan itu platform penganjuran Majlis Tilawah al-Quran perlu dimanfaatkan secara berkesan dari sudut kefahaman, tajwid dan juga tarannum.

“Sekiranya umat Islam menghayati al-Quran, sudah tentu orang Islam terutama masyarakat Melayu di negara ini mendapat kebaikan dalam konteks perpaduan dan dapat mengelak ancaman musuh .

“Majlis Tilawah al-Quran bukan setakat memperdengarkan ayat-ayat suci (al-Quran), sebaliknya penganjurannya yang di peringkat agensi, kebangsaan, negeri, dan antarabangsa perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan mesej daripada kitab suci itu dapat disampaikan dengan baik kepada masyarakat,” kata beliau.

Beliau ditemui media selepas hadir ke Tilawah Al-Quran Peladang Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Majlis  bertemakan Memartabat Al-Quran, Memimpin Keharmonian. – WD MY