TAWAU, 4 Okt – Terhempas….. Sebuah helikopter jenis Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di Tawau pagi ini.

Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus yang menyatakan jumlah penumpang dan kru pesawat, serta keadaan mereka masih belum diketahui.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Markas TUDM Kementerian Pertahanan, helikopter tersebut yang sedang membuat latihan penerbangan telah membuat pendaratan cemas berhampiran sekolah itu.

“Helikopter yang membawa 14 penumpang berlepas dari pangkalan pada jam 7.35 pagi bagi membuat latihan penerbangan biasa.

“Semua anak kapal dan penumpang helikopter tersebut selamat,” katanya.

Kejadian pendaratan cemas itu berlaku pada jam 9.35 pagi.Menurut kenyataan itu, TUDM telah menghantar pasukan penyelamat ke kawasan insiden dan mengawal kawasan sebelum mengambil tindakan bagi membawa keluar helikopter tersebut.

“TUDM juga sedang membuat penilaian ke atas kawasan insiden sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” tambahnya.

Seramai 14 anggota tentera yang cedera dikejarkan ke Hospital Tawau selepas helikopter tersebut terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup sekolah itu.

Memetik Penolong Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Sahidi Mahali, tiga pelajar serta pekerja kantin sekolah difahamkan turut tercedera dalam kejadian itu.
Difahamkan helikopter berkenaan cuba hendak mendarat di padang sekolah itu, namun terhempas.

Satu bilah kipas helikopter turut dikatakan terpelanting kira-kira 200 meter. – WD MY

LEAVE A REPLY