LISBON, 21 Ogos – Terhempas…. Helikopter yang dalam operasi memadam kebakaran di tengah dan utara Portugal terhempas dan juruterbangnya dikhuatiri maut.

Jurucakap agensi perlindungan awam Patricia Gaspar berkata, helikopter jenis Ecureuil itu sedang memadam kebakaran di Cabril apabila ia terhempas sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan.

Kira-kira 100 anggota bomba berusaha memadam api berhampiran Cabril, sebuah perkampungan di kawasan perbandaran utara Castro Daire.

Ia adalah satu daripada siri kebakaran yang memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan negara itu.

Datuk Bandar Castro Daire, Fernando Caneiri berkata, helikopter milik firma penerbangan swasta dikenali Everjets itu terlanggar wayar pencawang sebelum terhempas.

Laporan media berkata, helikopter terbabit meletup dan terbakar, sekali gus mengorbankan juruterbang.

Kejadian kebakaran di Portugal semakin menjadi-jadi pada musim panas kali ini, dan ia didakwa berpunca dari kecuaian manusia.

Menteri Dalam Negeri, Constanca Urbano de Sousa berkata, sebahagian besar kebakaran itu dikesan dimulakan dengan sengaja.

Kebakaran hutan besar-besaran pertengahan Jun lalu di Pedrogao Gando membunuh 64 orang dan mencederakan lebih 250 lain. – WD MY