NEW YORK, 11 Jun – TERHEMPAS….. Seorang maut selepas sebuah helikopter terhempas ketika cuba mendarat di atas sebuah bangunan pencakar langit di Manhattan semalam.

Perkhidmatan kecemasan pantas dikerah ke bangunan 54 tingkat di Seventh Avenue itu selepas menerima laporan kebakaran dan gegaran apabila sebuah helikopter terhempas 10 minit selepas berlepas dari pangkalan helikopter di bandar berkenaan.

Menurut Datuk Bandar New York, Bill de Blasio jabatan bomba New York mengesahkan seorang terbunuh dipercayai juruterbang helikopter berkenaan.

“Syukur tiada mangsa lain yang cedera setakat ini sama ada penumpang helikopter mahupun individu di dalam bangunan dan berhampiran kawasan kejadian.”

Menurut pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat (AS) hanya juruterbang terbabit berada di dalam helikopter malang itu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata nahas itu membabitkan helikopter jenis Agusta A109E dan berlaku kira-kira jam 1.45 petang (waktu tempatan).

“Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat dan menentukan punca sebenar nahas,” kata FAA di Twitter.

Pada Mac 2018, lima terkorban selepas sebuah helikopter terhempas ke dalam sungai di timur Manhattan.

Pesawat milik kumpulan pelancongan Liberty itu membawa enam penumpang termasuk juruterbang yang berjaya menyelamatkan diri. – WD MY