BANGI, 23 Nov – Fahami…… Bagi pihak yang masih keliru dengan Pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) yang akan dibentang di Dewan Rakyat minggu ini, diingatkan supaya berhenti daripada membuat sebarang tafsiran dan andaian sendiri kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan RUU itu perlu difahami dengan jelas kerana ia bukan satu pindaan kepada mewujudkan undang-undang Hudud di Malaysia.

Sebaliknya kata beliau, ia adalah usaha mempertingkat fungsi dan kedudukan Mahkamah Syariah supaya setanding dengan Mahkamah Sivil terutama dari sudut peruntukan hukuman dan kedudukan hakimnya.

“RUU ini bukan pasal Hudud tetapi mahu pertingkat kedudukan Mahkamah Syariah. Salah ke kita nak martabatkan perundangan Islam. Adakah peruntukan undang-undang dalam Mahkamah Syariah ada yang menyentuh agama lain? Tidak sama sekali.

“Salah ke kita naik taraf kedudukan hakim Mahkamah Syariah kepada JUSA A,B,C contohnya. Sekarang kalau kita lihat ada kesalahan yang hanya memberi peruntukan hukuman penjara sebulan, apakah ia wajar dan masih sesuai, jadi salah ke untuk kita naikkan? tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Simposium Tahfiz Al-quran peringkat antarabangsa bersempena Sambutan Jubli Emas Darul Quran ke-50 Tahun di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, petang ini. – WD MY