KUALA LUMPUR, 14 Julai – Henti Sebar……..Polis Kuala Lumpur memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan satu rakaman suara menghasut semua ahli kongsi gelap berkumpul di hadapan Bukit Aman, jam 2 petang, 15 Julai depan.

Menurut rakaman suara yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kononnya sudah mengeluarkan arahan untuk menembak mati 179 orang penjenayah termasuk dua penjenayah berbangsa India berketurunan Tamil tanpa perbicaraan.

Menerusi rakaman suara itu juga, tindakan berkenaan dikatakan sebagai satu konspirasi orang Islam untuk mengurangkan masyarakat India di negara ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, menegaskan isi kandungan percakapan dalam rakaman itu adalah satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali dan boleh membawa insiden perkauman.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti dalang yang mengeluarkan kenyataan itu (menerusi rakaman suara berkenaan).

“Polis Kuala Lumpur tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada sesiapa juga yang menyebarkan rakaman suara itu mengikut Akta Hasutan 1948,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY