IPOH, OGOS 27:HENTIKAN…Langkah kerajaan untuk mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat sehingga ia dihentikan sepenuhnya kepada rakyat bertujuan mengelak sogokan tunai bagi kepentingan politik.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata untuk itu pemberian berkenaan wajar dihentikan sebaliknya boleh dilaksanakan melalui pembangunan dan bantuan lain yang difikirkan wajar untuk membantu rakyat.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), tuntas dalam menegaskan bahawa sebarang bentuk sogokan tunai untuk mendapat sokongan politik mesti dihentikan.

“Ini kerana ia (bantuan tunai) mempunyai unsur rasuah dalam mendapatkan sokongan daripada rakyat. Saya mempunyai pengalaman di Selangor (ketika menjadi Menteri Besar) di mana kita tidak menyogok rakyat dengan bentuk wang tunai tetapi apa yang kita lakukan adalah memberdayakan (mengupayakan) rakyat melalui program dan dasar demi mensejahterakan mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Perak yang dibuat secara serentak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin dan Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang dilaporkan mahu mengurangkan BR1M dan mengurangkan bantuan berkenaan secara berperingkat sebelum ia dihentikan sepenuhnya.

Mohamed Azmin percaya Dr Mahathir bersama anggota Kabinet sedang merangka satu pendekatan baharu bagi menggantikan BR1M dan sedang merangka inisiatif baharu dalam hala tuju ekonomi negara yang akan dibahaskan di Parlimen Oktober depan.

“(Inisiatif baharu hala tuju ekonomi) yang meletakkan fokus mensejahterakan rakyat, bukan menyogok dan memperbodohkan rakyat.

“Kalau ini fokus kita untuk memberdayakan rakyat, saya percaya rakyat akan mempunyai kuasa ekonomi yang lebih dalam membantu meringankan kos sara hidup masing-masing,” katanya.

Katanya, tidak mustahil sistem bantuan berkenaan akan diganti dengan sistem baharu serta kerajaan akan meneliti perkara itu dan pihaknya akan memberikan pandangan serta membentangkan inisiatif baharu itu kepada kerajaan dalam masa terdekat.-MY WD