PUTRAJAYA, 16 Mac – Desak….. Kerajaan Malaysia mendesak Myanmar menghentikan segera penindasan terhadap etnik Rohingya dan membuktikan kepada ASEAN mereka boleh menerima golongan minoriti itu sebagai rakyat negara itu kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan sejarah ASEAN, Malaysia adalah satu-satunya negara yang melindungi Myanmar ketika negara itu bersendirian dan berjuang untuk kemasukannya ke dalam ASEAN.

“Bagaimanapun, kita amat sedih dengan apa yang berlaku kepada Rohingya di Rakhine. Apa yang mereka lakukan kepada masyarakat Islam di Myanmar benar-benar tidak boleh diterima.

“Saya percaya tindakan membakar, membunuh hidup-hidup dan keganasan terhadap manusia ini tidak tertulis dalam mana-mana agama.

“Myanmar sepatutnya tahu tindakan mereka amat berbahaya kerana membangkit dan mencetuskan perasaan masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 di sini, hari ini.

Persidangan selama tiga hari itu turut mencapai 14 resolusi bagi membantu etnik Rohingya di negara berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, Myanmar juga tidak mempedulikan mesej diplomatik daripada Malaysia yang meminta mereka menghentikan keganasan itu.

“Mereka meminta negara ASEAN tidak mencampuri urusan politik dalaman mereka tetapi ini bukan untuk mencampuri, ini adalah keprihatinan kepada saudara kita di Myanmar,” katanya.

“Kami tidak akan berhenti daripada memberi bantuan kepada penduduk Rohingya. Malaysia telah berada di barisan hadapan dari segi pergerakan luar biasa manusia,” katanya.
Terdapat kira-kira 56,000 masyarakat Rohingya terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang melarikan diri dari negeri Rakhine di Malaysia ketika ini.
Ahmad Zahid berkata masyarakat Rohingya memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk mengeluarkan mereka daripada tragedi itu kerana mereka mudah menjadi sasaran rangkaian pemerdagangan manusia dan pertubuhan pengganas. -WD MY