PUTRAJAYA, 23 JULAI – HENTIKAN…. Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ghost smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa yang sama meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

“Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi,” katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai ghost smoke selepas majlis Siri Wacana Sri Satria di Putrajaya.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

“Dulu smoking (merokok), kemudian dadah dan syabu,” katanya.

Pada majlis Wacana Ilmu Sri Satria hari ini, Ketua Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Roslina Othman menyampaikan syarahan bertajuk Model Ansar dan Muhajirin Dalam Pengurusan Pelarian.

Wacana itu merupakan idea Dr Wan Azizah sendiri untuk mengimarahkan Sri Satria – iaitu kediaman rasmi timbalan perdana menteri – sebagai pusat perkembangan ilmu.

Setiap bulan seorang tokoh akan menyampaikan syarahan bagi berkongsi ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara. – WD MY