SHAH ALAM, NOVEMBER 13:VIDEO… Penyanyi Zamani memohon supaya semua pihak menghentikan penularan video yang memaparkan dirinya berkongsi kisah silam percintaan dengan seorang penyanyi popular.

Bekas vokalis kumpulan Slam ini tidak mahu isu itu berpanjangan selain enggan melukakan hati mana-mana pihak berikutan apa yang diceritakan sudah lama berlaku.

“Cukuplah cerita seperti ini… Kita kena hormat dan jaga perasaan individu terbabit. Ini kerana dia sudah pun berkeluarga.

“Saya sudah lama melupakan perkara itu dan sudah menjalani kehidupan baharu.

“Mungkin orang yang tularkan video itu berniat membantu saya dari segi promosi memandangkan saya menyertai program realiti.

“Namun, saya tak perlukan publisiti begitu… Selepas ini, saya harap hentikanlah penularan video itu,” katanya.

Baru-baru ini, rakaman video yang diambil daripada program bual bicara, Teh Tarik Che Ta yang disiarkan sebuah stesen televisyen (TV) tahun lalu, tular.

Menerusi video berdurasi 3.06 minit itu, penyanyi Gerimis Mengundang ini mengimbau kembali kisah cintanya yang tidak kesampaian kepada pengacara program itu, Rozita Che Wan.

Sementara itu, mengulas mengenai kecaman netizen apabila diumumkan mara ke pentas akhir Gegar Vaganza 5 biarpun terlupa lirik dan ‘lari’ tempo ketika mendendangkan lagu pertama pada konsert separuh akhir, malam tadi, Zamani mengaku malu dengan insiden itu.

“Memang saya malu sangat dengan kejadian itu. Apa yang boleh dikatakan, saya memang menghadapi masalah dengan ‘ear monitor’.

“Saya tak dengar muzik… Ini membuatkan saya teragak-agak untuk ‘masuk’ pada bahagian sepatutnya.

“Tapi kalau saya cakap hal ini, orang akan kata itu semua hanyalah alasan. Jadi, anggap sajalah kejadian ini berlaku disebabkan kesalahan sendiri,” katanya.