KUALA LUMPUR, DISEMBER 31: PENGAGIHAN…Pengagihan hibah tahunan Lembaga Tabung Haji (TH) dan pendapatan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka lebih rendah tahun ini, berbanding 2017.

Penganalisis pasaran yang juga wakil Khidmat Pasaran Modal Berlesen Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar, berkata trend penurunan akan berlaku dalam pengagihan hibah TH dan dividen KWSP berikutan dipengaruhi faktor global dan sentimen tempatan.

Katanya, pemberian hibah tahunan TH dijangkakan berada dalam jajaran empat peratus dan hibah haji 1.5 peratus, manakala bagi KWSP jangkaan dividen simpanan konvensional sekitar lima peratus dan Simpanan Shariah 4.5 peratus.

“Beberapa faktor mempengaruhi penurunan dividen itu termasuk perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang menjadikan pasaran ekuiti global dan tempatan merudum; perubahan dasar ekonomi utama; penurunan harga minyak mentah yang mana menyebabkan kedua-dua institusi lebih berhati-hati untuk menyimpan tunai bagi pelaburan akan datang dan ketidakpastian politik dan sosioekonomi di Eropah (Brexit).

“Selain itu, sentimen tempatan juga mempengaruhi jangkaan trend penurunan termasuk usaha kerajaan yang masih mencari rentak pentadbiran optimum pada 2018; kelembapan sektor hartanah; kelemahan ringgit; penstrukturan pelaburan TH yang merudum di pasaran ekuiti Bursa Malaysia serta isu skandal TH yang belum selesai,” katanya.

Sementara itu, penganalisis pasaran yang juga Pengarah Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli, berpendapat pengagihan dividen dan hibah daripada pengurus simpanan jemaah haji serta pengurus dana persaraan itu berkemungkinan mengalami penurunan dan akan berada dalam lingkungan bawah enam peratus.

“Saya menjangkakan agihan dividen TH dan KWSP untuk 2018 akan lebih rendah berbanding 2017 memandangkan prestasi pasaran saham yang tidak memberangsangkan sepanjang tahun ini.

“Faktor utama adalah disebabkan prestasi pasaran saham di AS yang terus jatuh berikutan sentimen negatif berkaitan dengan perang dagangan dengan China yang masih berterusan,” katanya.

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) baru-baru ini mengumumkan agihan pendapatan 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, sekali gus disifatkan adalah terendah sejak ia dilancarkan pada 2 Januari 1990 berikutan dipengaruhi faktor ekonomi dalaman serta luaran yang tidak seimbang.

Bagaimanapun, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyifatkan agihan pendapatan ASB itu masih kompetitif walaupun keadaan pasaran global dan domestik mencabar dan tidak menentu.

Pengagihan hibah TH pada 2017 adalah 4.5 peratus, manakala tambahan hibah haji 1.75 peratus, manakala KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.40 peratus bagi Simpanan Shariah dan dividen 6.90 peratus (simpanan konvensional).-MY WD