WASHINGTON, 25 Nov – Popular……. Kedudukan pendahulu undi popular Hillary Clinton dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat meningkat kepada dua juta undi, hari ini.

Calon Presiden Republikan, Donald Trump menang pilihan raya, baru-baru ini selepas meraih sokongan majoriti kumpulan perwakilan pengundi.

Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Januari depan.

Bagaimanapun, proses pengiraan undi masih dijalankan, selepas dua minggu pilihan raya berakhir. Laporan Politik Cook merekodkan undi Trump sebanyak 62.2 juta manakala Clinton sebanyak 64.2 juta.

Ia adalah kali kelima pemenang undi popular kalah dalam pilihan raya Presiden negara itu.

Pada 2000, calon Demokrat, Al Gore mendahului George W Bush dengan 544,000 undi. Keadaan itu mencetuskan pertikaian undang-undang yang panjang antara kedua-dua calon.

Namun, pertikaian keputusan pilihan raya dimuktamadkan Mahkamah Agung yang mengisytiharkan Bush menang di negeri Florida.

Tahun ini, Clinton meraih undi besar di beberapa negeri seperti California tetapi Trump menang di kebanyakan negeri atas pagar. Ia menjadi penentu keputusan pilihan raya itu, kali ini.

Sistem pilihan raya Amerika Syarikat adalah berdasarkan kumpulan perwakilan pengundi. Ia memihak calon yang menang walaupun dengan beza kiraan undi kecil di banyak negeri berbanding calon yang menang paling banyak undi tetapi hanya menang di sejumlah kecil negeri sahaja. – WD MY