TASEK GELUGOR, DISEMBER 5: ICERD…Himpunan Ummah pada Sabtu ini perlu terus diadakan bagi menandakan tanda syukur kerana nasib Islam dan Melayu terutama masih terbela di Malaysia.

Naib Ketua Pemuda Umno Tasek Gelugor, Muhammad Yusuff Abdul Ghani berkata, himpunan itu bakal mengumpulkan puluhan ribu Melayu tanda solidariti terhadap Perlembagaan Malaysia

“Walaupun kerajaan mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasi ICERD, himpunan perlu terus dijalankan kerana perlembagaan memperuntukkan keistimewaan terhadap Melayu dan Islam namun kini dicabar oleh sesetengah pihak,” katanya.

Menurutnya, himpunan itu juga perlu sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap individu yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman.

“Apa yang berlaku kita lihat ada pihak cuba mengikis sedikit demi sedikit semangat perpaduan yang sudah lama terbina di negara ini. Kabinet kali ini seharusnya berperanan untuk memikirkan isu yang boleh membawa kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

“Bukannya kepada isu yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dan amat terkilan isu ini dibawa sendiri oleh menteri perpaduan,” katanya.

Muhammad Yusuff berkata, kerajaan seharusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan berikutan termaktub kontrak sosial yang dipersetujui wakil semua kaum semasa proses pembentukan negara.

“Selain itu, kerajaan perlu diingatkan supaya jangan mempermainkan isu agama Islam dan bangsa Melayu kerana ia tidak akan membawa kepada apa-apa kebaikan malah akan terus merosakkan semangat perpaduan berbilang kaum.

“Jangan hanya demi menjaga periuk nasi politik perlembagaan ditentang dan perpaduan kaum dicerai-ceraikan,” katanya.-MY WD