IPOH, NOVEMBER 13: HUKUMAN…Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam, menasihatkan pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 41, menjaga adat dan tatasusila dalam karya-karya kreatifnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Harun berkata, mempunyai pengikut yang ramai menjadikan perayu perlu mempunyai rasa tanggungjawab tinggi bagi memastikan karyanya dapat memberi kesan positif.

“Secara peribadi saya menggalakkan awak terus berkarya dan bakat yang ada perlu digunakan sebaiknya untuk tujuan murni.

“Boleh berkarya mengetengahkan isu penting demi kebaikan negara namun, jangan lupa orang pertama yang perlu ditegur adalah diri sendiri,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Fahmi Reza menggunakan wang denda yang dipulangkan sebaiknya untuk perkara lebih bermanfaat.

“Manfaatkan karya kreatif anda untuk membantu golongan kurang berupaya dan anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama. Ia akan membawa kepuasan kepada awak dan beri manfaat kepada negara,” katanya.

Terdahulu, Fahmi Reza kekal disabitkan kesalahan memuat naik gambar aib bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tujuan menyakitkan hati orang lain, dalam akaun Facebooknya dua tahun lalu.

Dia didapati bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selain mendapati keputusan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah tepat.

Mohd Radzi turut memerintahkan hukuman penjara terhadapnya dibatalkan dan digantikan hukuman denda kepada RM10,000 di akhir peringkat rayuan.

“Saya telah membuat pemerhatian terhadap kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Oktober lalu dan mengambil maklum laporan beberapa media, maklumat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai pindaan sedang dibuat terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia termasuk seksyen itu.

“Saya dengan ini membenarkan rayuan perayu terhadap hukuman. Dengan ini saya membatalkan hukuman sebulan penjara dan denda RM30,000 yang dijatuhkan mahkamah sesyen dan menggantikan hukuman denda RM10,000,” katanya.

20 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pendakwaan dikendali Ketua Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria manakala Fahmi Reza diwakili peguam, Syahredzan Johan.-MY WD