KUALA LUMPUR,JUN 6: PUTUSKAN…Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedang meneliti suara di peringkat akar umbi sebelum membuat keputusan untuk bertanding pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Beliau yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, segala keputusan yang dibuat untuk pemilihan itu nanti, semuanya bersandar kepada apa yang terbaik untuk UMNO.

“Saya akan mengumumkan dalam masa terdekat. Pada saya keutamaan adalah institusi UMNO itu sendiri berbanding jawatan dalam parti.

“UMNO perlu bergerak ke hadapan dan berubah kerana itu yang ahli dan rakyat ingin lihat, ” katanya ditemui di lobi Menara Dato Onn pada hari pertama beliau memulakan tugas sekembalinya daripada mengerjakan umrah, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman pemimpin UMNO bagi pemilihan parti itu sebaik pendaftaran pencalonan dibuka Jumaat lalu.

Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

Hishammuddin berkata, beliau akan bertanding tetapi belum memutuskan jawatan yang bakal ditandingi.

Katanya, jawatan itu tidak penting kerana pada beliau gandingan yang boleh bekerja bersama menjadi keutamaannya.

“Sesiapa pun yang menawarkan diri untuk pemilihan parti kali ini perlu tahu, bahawa jawatan dalam parti itu datang bersama-sama dengan tanggungjawab.

“Saya tidak akan lari meninggalkan parti walau apa pun keputusan pemilihan itu nanti. Saya akan terus menyumbang kepada parti, ” katanya.-MY WD