KUALA LUMPUR, 26 Nov – Bimbang……Malaysia bimbang kemungkinan etnik Rohingya terpengaruh dengan kumpulan militan Daesh yang kini sudah melebarkan pengaruhnya di rantau ini.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebimbangan itu sudah disuarakan kepada Menteri Pertahanan Myanmar, Leftenan Jeneral Sein Win dalam satu pertemuan yang diadakan sebelum ini.

Beliau selaku Menteri Pertahanan berkata, tekanan hidup dan kesengsaraan yang dihadapi etnik tertindas itu ketika ini, sebenarnya membuka ruang kepada mereka menyertai kegiatan pengganas bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau tidak ada tindakan drastik diambil terhadap mereka (etnik Rohingya) yang tiada pilihan ini, saya bimbang mereka boleh membuat pilihan untuk menyertai kumpulan ekstrem.

“Kalau mereka terbabit dengan kumpulan itu, kita tidak boleh salahkan mereka sebab mereka sudah tiada pilihan dan saya sudah maklumkan kepada Menteri Pertahanan Myanmar mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pada Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016, hari ini.

Malaysia, katanya, kini memilih untuk mengambil pendekatan membantu etnik terbabit, berbanding hanya bantahan dan kecaman semata-mata. – WD MY