KLUANG, 16 April – Percepatkan Rondaan Bersama…….Inisiatif rondaan bersama di Laut Sulu membabitkan negara berkepentingan perlu disegerakan bagi mengekang insiden penculikan yang semakin berleluasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata inisiatif itu perlu dilaksanakan bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina bagi memastikan keselamatan di kawasan perairan berkenaan terjamin.

“Insiden penculikan terbaru di perairan Laut Sulu membabitkan 10 pelaut warga Indonesia malam tadi meningkatkan kebimbangan kita berhubung tahap keselamatan di Laut Sulu.

“Ini kejadian ketiga dalam bulan ini. Saya akan menemui rakan sejawatan di Brunei, Indonesia dan Filipina bagi menggerakkan inisiatif rondaan bersama.

“Cadangan rondaan bersama di Laut Sulu sudah dikemukakan Malaysia pada Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada November lalu selepas kejayaan inisiatif sama di Selat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program komuniti dan ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sedohok, Kahang, dekat sini, hari ini. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY