SHAH ALAM, JAN 15: BERSAMA UMNO…. Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih lagi bersama UMNO, biarpun banyak khabar angin dan persoalan timbul susulan gambar beliau sekeluarga dikatakan bercuti bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tersebar bulan lalu.

Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sendiri bertanyakan hal itu kepada Hishammuddin sebelum dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Sembrong itu bahawa beliau masih kekal dalam UMNO.

“Saya nak beritahu bahawa beberapa hari lalu Datuk Hishammuddin memberitahu saya bahawa dia akan tetap kekal dalam UMNO. Jadi gambar-gambar dia bercuti dengan Azmin Ali dan sebagainya itu memberi macam-macam tafsiran.

“Tetapi saya tanya dengan terus terang, dia kata dia tetap akan kekal dalam UMNO dan itu juga nasihat saya kepada dia, sayanglah hasil daripada UMNO ini kerana ini darah daging kita. Kita tidak boleh buat sesuatu yang boleh menyebabkan UMNO ini rosak.

“Jadi dia memberi pengakuan kepada saya,” katanya pada program Santai Bersama Datuk Seri Najib, PM Ke-6, di Bangunan UMNO Shah Alam, di sini, petang semalam.

Najib berkata demikian apabila ditanya ahli UMNO mengenai pendirian dan kedudukan Hishammuddin dalam UMNO susulan gambar beliau dan Azmin bersama-sama keluarga masing-masing sedang bercuti di Maghribi yang tersebar sebelum ini.

Menjawab pertanyaan mengenai apa yang mendorong pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen melompat parti, Naib berkata, persoalan itu perlu ditanyakan sendiri kepada pihak berkenaan.

Dengan menggelar bekas pemimpin UMNO berkenaan sebagai ‘katak’, Najib berkata, beliau juga kecewa dengan sikap mereka berikutan ada antaranya yang pernah ditolong oleh Ahli Parlimen Pekan itu sendiri.

Pada masa sama, katanya beliau lebih gemar mereka yang kekal dalam UMNO adalah ahli yang setia kepada parti itu.

“Macam-macam saya bantu, tapi bila kita dah kalah ini, dia seperti tidak ada semangat setiakawan dan tidak ada semangat yang kasih kepada parti.

“Yang setia kepada parti ini adalah tuan-tuan dan puan-puan, semua ini. Yang anehnya, tuan-tuan dan puan-puan setia walaupun tidak mendapat apa-apa daripada parti. Ini yang dapat macam-macam habuan tetapi dia mengkhianati parti.

“Itu sebab saya dalam hati susah nak terima, tetapi apakan daya, mereka sudah buat keputusan. Kita bila sudah kalah ini barulah kita kenal orang sebenarnya. Ada peribahasa sebut bila kita menang, kawan cari kita, bila kita kalah, kita kenal kawan. Tak apalah, kita redalah katak-katak ini melompat,” katanya.-MY WD