KUALA LUMPUR, 24 April – Bertenang Dan Tidak Timbulkan Kekecohan….. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta semua pihak bertenang dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung krisis kepemimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata, ketika ini tiada maklumat jelas berhubung khabar angin mengenai isu penarikan balik darjah kebesaran istana Terengganu kepada Ahmad Razif.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak, khususnya kepemimpinan dan ahli UMNO mengutamakan perpaduan dalam parti itu selain meletakkan kepentingan negeri lebih daripada segalanya.

“Selaku bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, ini bukan satu perkara yang tidak pernah kita lalui. Yang penting sekarang adalah untuk kita kurangkan perkara yang boleh memecahbelahkan kita.

“Saya minta jangan beremosi, bertenang dan pastikan kelebihan yang ada pada negeri dan badan perhubungan itu lebih penting daripada mana-mana individu,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desas-desus Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menarik balik darjah kebesaran istana Terengganu yang diberikan kepada Ahmad Razif.

Berikutan itu timbul spekulasi kemungkinan status Ahmad Razif sebagai Menteri Besar bakal tamat kerana mencetuskan krisis dengan istana. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY