MUADZAM SHAH, 4 Mei – Penyelaras Barisan Nasional (BN) bagi
pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN menjelang hari pengundian esok.

Beliau berkata anggota jentera parti di 38 Pusat Daerah Mengundi (PDM)
telah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik dalam
berusaha memastikan rakyat keluar mengundi.

“Setelah hampir dua minggu (kempen), hari ini menjelang hari pengundian
(esok), saya lega kerana jentera-jentera di PDM tahu tugas masing-masing dan
pastikan proses pengundian esok berjalan lancar,” katanya kepada media
selepas melawat bilik gerakan PDM Felda Selancar 1 dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga anggota
Majlis Tertinggi UMNO.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mahu gerak kerja BN diteruskan
pada hari pengundian esok, khususnya dari segi pengangkutan untuk membawa
pengundi ke pusat mengundi.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa pengundi untuk keluar awal bagi
menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.

“Jentera pilihan raya parti bertanding akan kembali ke kawasan masing-masing
selepas PRK, Rompin ini perlu dipimpin oleh wakil rakyat yang senang didekati
dan boleh menjalankan tugas dengan baik,” kata Hishammuddin yang mahu pengundi
membuat pilihan dengan bijak.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY