KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 30: Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan rasa bangga dengan semangat yang ditonjolkan ketiga-tiga sayap kepimpinan Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2018 yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Jelas Hishamuddin, roh Umno masih kuat meskipun tidak lagi menjadi parti pemerintah.

“Dari segi perjalanan alhamdulillah, saya tengok roh Umno masih lagi kuat tapi yang paling penting sekarang ialah untuk melihat ke hadapan.

“Inilah semangat yang begitu tinggi dikalangan ahli-ahli kita dalam keadaan kita dikecam, diserang dan dituduh dengan macam-macam, tapi (semangat) di kalangan ahli Umno masih lagi menebal. Jadi saya bangga,” katanya kepada Malaysiakini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas perjalanan persidangan sayap Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Terdahulu Hishammuddin yang segak berbaju Melayu berwarna Merah tiba sekitar jam 8.30 malam bagi mendengar ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Semberong mengingatkan kepimpinan parti akan cabaran masa depan.

“Tapi cabaran di hadapan besar juga. Sekarang ini nak meniti sendiri, macam mana hendak ke hadapan, bagaimana hendak memastikan bahawa yang menyokong Umno bukan sahaja mereka yang ada dalam dewan ini, tetapi mereka di luar sana.

“Ini saya nak dengar ucapan presiden kejap lagi,” katanya.-MY WD