KLUANG, 9 Mei – SERANGAN…… Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima ratusan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali yang cuba menghubunginya pagi tadi.

Katanya, beliau bimbang dengan situasi itu yang mengakibatkan telefon miliknya terganggu hingga tidak dapat digunakan, selain berharap ia tiada kaitan pihak yang ingin menghuru-harakan keadaan.

“Ketika bangun pagi tadi, telefon saya ‘jammed’ dengan macam-macam panggilan yang saya tidak kenali. Saya bimbang kerana telefon saya sendiri boleh ‘jammed’ sebegitu rupa.

“Saya harap tidak ada usaha mereka yang mahu membuat sesuatu menghuru-harakan keadaan,” katanya pada sidang media di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sembrong itu berkata, biarpun panggilan itu banyak diterimanya, tetapi tidak ada kesan negatif setakat ini.

“Panggilan berterusan itu diterima dari pagi hingga ketika saya nak pergi ke peti undi (pusat mengundi).

“Beratus (panggilan) daripada nombor tidak dikenali dan tiga ke empat nombor berulang. Apabila dijawab, tiada orang,” katanya.

HISHAMMUDDIN menerima ratusan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali yang cuba menghubunginya pagi tadi. – Foto Twitter @HishammuddinH2O

Hishammuddin berkata, beliau ingin juga mendengar individu yang menghubunginya itu pagi ini.

Sementara itu, mengulas proses pengundian pagi ini, beliau berkata, ia berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa laporan insiden tidak diingini dan pengundi sangat bersemangat keluar mengundi.

“Ini satu petanda yang baik untuk sistem demokrasi kita,” katanya. – WD MY