JOHOR BAHRU, 25 Okt – Hospital Terbakar…… Pihak Polis mengesahkan enam pesakit maut dalam kejadian kebakaran di tingkat dua Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini setakat ini yang dipercayai disebabkan litar pintas.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, mangsa ialah empat wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 50-an.

 

Anuar Rahim Bagaimanapun, katanya, seorang pesakit lelaki selamat dalam kejadian itu yang mengalami kecederaan melecur 80 peratus.

“Ketika kejadian terdapat tujuh pesakit sedang mendapatkan rawatan di wad berkenaan yang dibantu lapan kakitangan hospital.

“Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan enam pesakit termasuk empat perempuan mati akibat terperangkap dalam wad itu.

“Tiga kakitangan hospital mengalami sesak nafas kerana terhidu asap tebal,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, semua penghuni bangunan itu diarahkan keluar dari bangunan untuk dibawa ke lokasi selamat di sekitar bangunan terbabit.

Terdapat 294 pesakit dan 193 kakitangan hospital di bangunan induk HSA ketika kejadian. – WD MY