NAYPYIDAW, 30 Mac – Presiden baharu Myanmar, Htin Kyaw mengangkat sumpah jawatan itu hari ini, sekali gus menjadi pemimpin kalangan orang awam pertama yang dipilih sejak 50 tahun lalu.

Htin kyaw daripada Parti Demokrasi Liga Kebangsaan (NLD) mengambil alih jawatan itu daripada Thein Sein, yang memperkenalkan beberapa siri pembaharuan semasa mentadbir myanmar selama lima tahun.

Angkat sumpah jawatan Htin Kyaw melengkapkan proses transformasi politik di Myanmar yang bermula selepas kemenangan NLD, dipimpin pembangkang Aung San Suu Kyi.

Walaupun Suu Kyi tidak menjadi presiden, pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu sebelum ini berikrar untuk memerintah Myanmar secara proksi.

Htin Kyaw menang undian di Parlimen untuk jawatan presiden awal bulan ini dengan menewaskan beberapa calon NLD lain.

Malah, beliau turut menewaskan calon yang disokong tentera dengan mendapat 360 undi daripada keseluruhan 652 undian ahli Parlimen.

Dua lagi calon iaitu Henry Van Thio dan Myint Swe masing-masing akan berkhidmat sebagai naib presiden Myanmar.

Minggu lalu, NLD yang menang besar dalam pilihan raya November lepas, menamakan beberapa menteri dalam kerajaan baharu Myanmar.

Senarai menteri itu merangkumi Suu Kyi, yang akan bertanggungjawab dengan portfolio hal ehwal asing, Pejabat Presiden, pendidikan, tenaga dan sumber elektrik.

Tentera bagaimanapun, masih menguasai tiga kementerian penting iaitu pertahanan, dalam negeri dan hal ehwal sempadan.

Parlimen Myanmar pada 15 Mac lalu, telah memilih Htin Kyaw, yang merupakan teman rapat dan orang kanan Suu Kyi, sebagai Presiden baharu.

Suu Kyi dihalang daripada mengisi jawatan tertinggi itu kerana beberapa klausa dalam perlembagaan negara berkenaan, namun pernah menyatakan bahawa status dirinya adalah ‘di atas’ presiden. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY