KUALA LUMPUR, 6 Mac – Perkukuh…. Kerajaan Malaysia tidak pernah mencari masalah dengan mana-mana negara dan hubungan diplomatik yang sedia terjalin di peringkat antarabangsa selama 60 tahun ini adalah komitmen sebenar negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, hubungan diplomatik bukan hanya penting untuk dipertahan tetapi perlu juga diperkukuh.

Namun, katanya, jika ada negara tertentu menjadikan Malaysia sebagai fokus serangan mereka, kononnya negara memanipulasi kes membabitkan satu pembunuhan, maka Malaysia wajar menghantar mesej jelas dari sudut hubungan diplomatik.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) merasakan bahawa keputusan Jemaah Menteri sebagaimana diumum (Menteri Luar) Datuk Seri Anifah Aman untuk mengusir duta itu adalah sesuatu yang jarang dilakukan mana-mana negara.

“Kecuali dalam satu-satu kes itu di mana duta yang seharusnya memohon maaf tapi enggan berbuat demikian, sebaliknya melakukan serangan sehingga menimbulkan persepsi berbeza terhadap negara kita,” katanya.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen, mengulas mengenai tindakan Malaysia mengisytiharkan persona non grata kepada Duta Korea Utara, Kang Chol, yang melemparkan kritikan tidak berasas terhadap Malaysia, susulan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Kim Jong-nam, baru-baru ini.

Ahmad Zahid menjelaskan, tindakan itu tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi, malah langkah untuk melakukan siasatan terhadap kes berkenaan dilakukan secara profesional.

“Kita tidak pun melakukan hal ini (siasatan) dengan mana-mana negara biarpun ada negara yang mahu membantu.

“Tenaga profesional dimiliki kita mencukupi untuk melakukan (menyempurnakan) aspek bedah siasat serta soal siasat yang dilakukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – WD MY