TOKYO, 1 Jun – Hubungan Terus Kukuh di Bawah Kepemimpinan Najib……Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yakin hubungan dan kerjasama negara itu dengan Malaysia terus berkembang di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Malaysia di bawah kepemimpinan Najib memberi penekanan pakej dasar ekonominya termasuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

“Jepun juga menjana kitaran pertumbuhan positif ekonominya dengan melaksanakan dasar ekonomi termasuk melalui Strategi Pertumbuhan.

“Saya mahu membawa kesan sinergi kepada dasar ekonomi kedua-dua negara untuk bersama mencapai tahap pertumbuhan yang lebih tinggi.

“Saya juga setakat ini sudah enam kali mengadakan pertemuan dengan Najib, termasuk kami mengadakan kunjungan timbal balas tahun lalu.

“Saya sejujurnya berhasrat menggalakkan lebih banyak kerjasama antara kedua-dua negara supaya hubungan dua hala terus subur berdasarkan keperluan dalam era kita, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia-Persatuan Ekonomi Malaysia Jepun (JAMECA-MAJECA) Ke-34 di sini hari ini. Perutusan berkenaan dibacakan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.

Abe berkata, Persidangan Bersama JAMECA-MAJECA kali ini dan evolusinya sejak 39 tahun lalu menyumbang kepada kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Najib dalam perutusannya yang dibacakan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Ahmad Izlan Idris, berkata Persidangan Bersama JAMECA-MAJECA kali ini akan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, lebih bermakna persidangan diadakan ketika Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sudah ditandatangani dan rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang dilakukan bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang lebih komprehensif dengan rakan dagangan.

“Dua inisiatif ini akan menjadi alat lonjakan kepada semua peluang perdagangan dan pelaburan di rantau ini.”Malah, hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Najib berkata, program seperti Forum Ekonomi Malaysia-Jepun anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun (JCCI) dan Simposium Pelaburan Jepun-Malaysia anjuran Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) di Malaysia menjadi instrumen untuk menyediakan kesedaran baharu terhadap peluang pelaburan di Malaysia dan Jepun.

Katanya, dalam konteks Persidangan Bersama JAMECA-MAJECA kali ini, beliau yakin ianya akan membuka peluang baharu termasuk memperkukuhkan ekonomi di utara Semenanjung khususnya Kedah dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) terutama di Pahang.

“Ini kawasan pertumbuhan baharu di Malaysia yang menyediakan banyak insentif yang sudah diumumkan bagi pelaburan baharu,” katanya. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY