PUTRAJAYA, 26 Jan – Tahap Baik…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia pada masa ini berada pada tahap paling cemerlang dan luar biasa dengan pendekatan menyelesaikan isu melalui perbincangan.

 Malaysia komited untuk terus mempertingkatkan hubungan dua hala
yang terjalin dan sedia bekerjasama dengan Indonesia yang sedang berkempen untuk kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa Bersatu.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia akan terus dipertingkat demi kebaikan
kedua-dua negara dan ASEAN secara umum,” katanya kepada media selepas
menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertemuannya bersama Herman, Ahmad Zahid berkata beliau  rasa puas hati kerajaan Malaysia dengan tahap hubungan dua hala
antara Malaysia dan Indonesia serta menyifatkan Indonesia sebagai jiran yang penting.

Katanya kerajaan Malaysia juga menghargai peranan Herman dalam memastikan maklumat mengenai Malaysia dilaporkan dengan tepat oleh media Indonesia bagi mengelak sebarang kontroversi dan perselisihan faham antara kedua-dua buah
negara.

Herman akan menamatkan tugas pada 31 Jan dan digantikan oleh anggota Dewan Penasihat Presiden, Rusdi Kirana yang juga pemilik syarikat penerbangan tambang murah Lion Air. – WD MY