KUALA LUMPUR, 13 Mac – Rundingan…..  Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini sekali lagi menegaskan hubungan tegang antara Malaysia dan Korea Utara ketika ini tidak akan mencetuskan peperangan.
Sebaliknya, proses rundingan di peringkat tertinggi kedua-dua negara sedang berlangsung bagi menyelesaikan kemelut itu, katanya.

“Tidak, walaupun suasana hubungan kita agak tegang tapi takkanlah sampai kita nak berperang, jangan bimbang.

“Rundingan sedang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan, Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri,  kita serahkan kepada mereka (untuk berunding),” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Hishammuddin berkata kerajaan juga yakin negara lain yang mempunyai hubungan rapat dan dua hala dengan Malaysia akan tampil menghulurkan bantuan bagi menangani konflik dengan Korea Utara jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Contohnya semasa (insiden) MH370 kita tak ada aset pun nak mencari kapal terbang yang hilang itu, tapi 26 buah negara tampil untuk membantu kita dengan peralatan yang paling canggih. Ini kelebihan yang ada pada kita,” katanya

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beberapa pemimpin tertinggi di peringkat antarabangsa telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 ((LIMA’17).
Menurut beliau, kehadiran pemimpin tersebut juga bagi meraikan persefahaman dan juga kerjasama bukan sahaja antara kementerian pertahanan tetapi melibatkan juga angkatan tentera pelbagai negara. – WD MY