KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta
semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tanpa mengira agama
dan kaum menghulurkan bantuan kepada pelarian Rohingya.

Menurut Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, KDN melalui Jabatan
Imigresen sedia bekerjasama dan menerima segala bentuk bantuan serta sumbangan
bagi membantu pelarian yang terdampar di Langkawi pada 10 Mei lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata penyaluran bantuan ke Depot Imigresen
Belantik, Kedah boleh dilakukan di Jabatan Imigresen di Alor Setar, Kedah
untuk tujuan penyelarasan.

“Sebarang sumbangan dan bantuan boleh disalurkan kepada Jabatan Imigresen
Malaysia, Negeri Kedah, di alamat Tingkat 1-2, Bangunan Kementerian Dalam
Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah, Alor Setar,
Kedah,” katanya.

Ahmad Zahid dalam kenyataan hari ini berkata walaupun mereka (pelarian) merupakan golongan yang
cuba masuk secara tidak sah dan melanggar peraturan imigresen, kebajikan
mereka tidak wajar diabaikan.

Katanya isu pelarian Rohingya adalah krisis kemanusiaan yang menyentuh
naluri belas kasihan dan kemanusiaan sejagat, bukan melibatkan isu ummah
semata-mata.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY