KOTA KINABALU, MAC 2:HOSPITAL….Datuk Seri Najib Razak berkata, Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) akan menjadi projek ikonik yang bukan saja memberi manfaat kepada pelajarnya, malah rakyat Sabah menikmati khidmat penjagaan kesihatan pada kos minimum.

Imej ikonik itu adalah berdasarkan pembangunannya sebagai sebuah hospital pintar yang pertama di Malaysia dan rantau ini, kata Perdana Menteri

“Hari ini saya nak umumkan bahawa HUMS akan menjadi sebuah hospital pintar pertama. Kita boleh jadikan ia sebagai projek ikonik yang menguntungkan rakyat, bukan saja pelajar,” katanya ketika melancarkan Projek Pembangunan HUMS, di sini, hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia adalah antara lima negara terbaik di dunia yang diiktiraf dalam bidang kesihatan.

Perdana Menteri berkata kerajaan berusaha  menyediakan lebih banyak prasarana termasuk di luar bandar.

Selain itu, Najib berkata, potensi rakyat Sabah dapat direalisasikan menerusi akses dan prasarana pendidikan yang lebih baik bermula dari peringkat rendah hingga ke pendidikan tinggi.

Katanya, penyediaan prasarana itu adalah janji kerajaan yang pasti akan ditunaikan, sejajar kesedaran bahawa pendidikan mampu mewujudkan perubahan ke arah lebih baik dalam usaha membina negara.

“Ini janji kita kepada pelajar… ini tanggungjawab kita, bukan kita nak main politik, mesti menjadi arkitek dan pembina pelaksana untuk negara. Kita adalah arkitek pembangunan Malaysia dan Sabah.

“Komitmen saya sebagai Perdana Menteri ialah bangunkan Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Kain Ching berkata, Hospital HUMS dibina dengan kos RM652 juta mempunyai keluasan 110,853 meter persegi dan memuatkan 400 katil.

Apabila siap, ia bakal menyediakan perkhidmatan doktor pakar, pusat pembelajaran pelajar perubatan dan jururawat, perkhidmatan pakar Ortodontik, perkhidmatan kecemasan dan trauma 24 jam, pemeriksaan kesihatan pelajar, kakitangan dan awam serta pusat farmasi.

Katanya, hospital itu turut dilengkapi pusat diagnostik makmal, pusat radiologi, pusat dialisis, promosi kesihatan dan gaya hidup sihat, perkhidmatan fisioterapi dan kecederaan sukan, penguatkuasaan kesihatan, pemeriksaan pengendali makanan dan klinik berhenti merokok.

Beliau berkata, pembangunan HUMS sebagai sebuah hospital pintar sejajar perancangan UMS untuk menjadi kampus pintar menerusi pelan SMART ECO-UMS 4.0 dengan satu daripada inisiatifnya ialah Smart Hospital UMS.

UMS adalah di antara 12 universiti awam di seluruh negara yang mempunyai fakulti perubatan daripada 20 universiti awam yang ada ketika ini.