KLANG,JULAI 7: IBU BAPA…Polis akan memanggil ibu bapa kanak-kanak lain bagi mendapatkan maklumat lan­jut kononnya anak mereka dikatakan pernah melihat suspek menggoncang badan serta mengetuk kepala Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif semasa dalam jagaan pengasuh itu di rumahnya sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Ke­tua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor yang mana maklumat tersebut diharapkan akan membantu pihaknya melengkapkan siasatan kes kematian bayi ber­usia lima bulan itu yang ditemui di dalam peti sejuk di rumah suspek, 3 Julai lalu.

“Kita dengar pelbagai cerita yang belum disahkan lagi, namun difahamkan bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari kejadian. Oleh demikian, siasatan bermula dari situ sehingga bayi ini ditemukan meninggal dunia.

“Sekiranya ada keterangan, ki­ta mohon mana-mana individu terbabit menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan.

Baru-baru ini media melaporkan kenyataan seorang bapa, Zian Hafiz Ahamad Zawati, 36, yang memberitahu bahawa anaknya iaitu Ahmad Hayyan Putra, 5, dan Nur Imanina Arisa Putri, 3, melihat suspek menggoncang badan dan mengetuk kepala Adam Rayqal kerana asyik menangis.

Menurutnya, kedua-dua anak­nya ketika itu berada di bawah jagaan suspek pada hari kejadian yang mana anak sulungnya itu telah memberitahu kepadanya bahawa suspek mengetuk kepala Adam Rayqal kerana asyik menangis sejak pagi sebelum tiba-tiba senyap.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, polis juga akan mengambil keterangan ibu bapa Adam Rayqal dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, kita menghormati keluarga mangsa dan memberikan sedikit masa kepada mereka sebelum mengambil ke­terangan mereka. Kita juga masih me­nunggu laporan rasmi perubatan oleh Jabatan Forensik yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal dilaporkan dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya yang berusia 33 tahun dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini, pada pukul 6.30 petang menyebabkan ibu bapanya, Mohd. Sufi Naeif Mohd, Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.

Bagaimanapun, penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan kepada pihak polis dan wanita itu akhir­nya membawa polis ke rumahnya dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.

Ketika ditemukan pada kira-kira pukul 11 malam, mayat mangsa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaiannya.-MY WD