ICERD: ‘Kuala Lumpur tunggu,saya sampai’

ICERD: ‘Kuala Lumpur tunggu,saya sampai’

78
0

ARAU, DISEMBER 7:ICERD…. Seorang pekebun tidak kisah menempuh perjalanan sejauh lebih 400 kilometer (km) dari Perlis ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal seorang diri semata-mata ingin bersama umat Islam yang lain menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812, esok.

Malah, Noor Hakimi Kamis,53, yang berasal dari Arau itu juga tidak kisah untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menghadiri perhimpunan yang dianggap bersejarah itu.

Katanya, dia begitu bersemangat untuk menyertai perhimpunan itu selepas melihat suasana pada hari ini yang menyaksikan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini sudah mula diusik pihak-pihak tertentu.

Selain itu, katanya, perhimpunan kali ini juga menampilkan suasana yang berbeza khususnya melibatkan kebangkitan dan semangat penyatuan orang Melayu.

“Ini adalah perhimpunan pertama yang saya sertai. Kali ini, semangat saya cukup berkobar-kobar untuk tidak ketinggalan bersama umat Islam yang lain menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya.

Noor Hakimi yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 ZR itu juga sudah membuat persediaan termasuk memastikan kenderaannya itu berada dalam keadaan baik bagi menempuh perjalanan jauh.

Dalam masa sama, dia juga berdoa serta berharap agar perjalanan pergi dan pulang nanti berjalan dengan lancar.

“Kalau tidak ada masalah dan jika cuaca baik sepanjang hari ini, berkemungkinan saya sampai di Kuala Lumpur pada waktu petang. Mungkin sepanjang perjalanan nanti saya akan bertemu peserta-peserta lain yang mungkin bertolak hari ini.

“Saya percaya bukan saya sahaja yang bersemangat menyertai perhimpunan itu malah kebanyakkan umat Islam yang lain juga mempunyai semangat yang sama,” katanya.-MY WD