KUALA LUMPUR, NOVEMBER 14:ICERD… Pas memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) akan mengerahkan jutaan rakyat turun ke jalanan jika berlaku salah guna kuasa menggunakan Parlimen untuk mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian parti Islam itu ialah jelas menolak ICERD dengan cara apa sekali pun.

“Jangan dimainkan dengan ICERD… PH selepas pilihan raya tidak peduli demografi penduduknya.

“Pas memberi amaran sekeras-kerasnya, jangan salah gunakan Parlimen, ketahuilah (adalah) mudah bagi Pas untuk kerahkan jutaan rakyat sekiranya Parlimen disalah guna untuk iktiraf ICERD yang tidak adil terhadap Islam dan Bumiputera,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) di Dewan Rakyat.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, Malaysia sejak daripada dahulu tidak pernah menerima ICERD.

“Sepatutnya ICERD dihadapkan Israel dan Myanmar kerana kekejaman kepada bangsanya.

“Dan bukan di negara ini… bukan di Malaysia yang sudah terima masyarakat majmuknya. Jangan melampaui batas, jangan langgar lampu merah yang sedang menyala dengan bersikap ‘diberi betis, mahu peha’,” katanya.

Ratifikasi ICERD di Malaysia mencetuskan kontroversi dan mendapat tentangan daripada pembangkang.

Umno dan Pas sebelum ini mendakwa ratifikasi ICERD akan menghapuskan hak istimewa Bumiputera dan Melayu.-MY WD