PUTRAJAYA, 26 Mac -Terbesar…… Satu  Penganjuran Festival iChef Malaysia 2017 yang menghimpunkan 4,235 chef tempatan dan antarabangsa diiktiraf The Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai himpunan terbesar chef di negara ini.

Pencapaian itu sekali gus mengatasi rekod dunia dalam satu festival di Mexico sebelum ini yang menghimpunkan 3,634 chef.

Festival yang julung kali dianjurkan di negara ini bertujuan mempromosikan kepelbagaian makanan dan budaya Malaysia kepada dunia.

Pengiktirafan itu diumumkan pada majlis perasmian Festival iChef Malaysia 2017 yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Dataran Putrajaya, di sini malam tadi.

Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, kejayaan penganjuran festival itu ternyata membuka mata dunia dalam mengenali keindahan budaya, tradisi dan makanan Malaysia sekali gus mampu menaikkan nama negara.

“Inisiatif penganjuran ini juga bertujuan untuk mengajak anak muda bagi menceburi industri kulinari yang juga mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada mereka.

“Penganjuran program seperti ini turut menepati hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai lepasan bidang pendidikan teknikal dan vokasional selaras menuju negara maju,” katanya.

Festival iChef Malaysia 2017 adalah anjuran bersama Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya (PPj),Persatuan Warga Cinta Negara (PENCINTA) dan Finemen Holdings Sdn Bhd.

Program itu yang bermula semalam dan berakhir esok turut menganjurkan kejohanan iCHEF Battle of the Six Continents membabitkan penyertaan 600 chef dan 30 juri antarabangsa. – WD MY