KUALA LUMPUR, 8 Sept – CADANGAN…. Idea yang dibincangkan bersama rakan-rakan dalam talian pada sesi sembang santai berkaitan topik #Bajet2018  akan diteliti, diperinci dan dipertimbangkan untuk Bajet 2018, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkongsi pandangan yang diutarakan pada sesi sembang santai di sebuah pusat membeli belah di sini, malam ini, dalam blognya NajibRazak.com.

Najib juga mendengar pandangan berhubung industri pelancongan daripada Pengasas Bersama Local Usher, Sabrina Cheng yang mencadangkan perhatian lebih diberikan kepada vendor-vendor kecil pelancongan supaya mereka mampu bersaing dengan pemain industri yang lebih besar.

Selain itu, pengusaha syarikat pakaian, Rashdan Nasaruddin memberi idea untuk menggalakkan usahawan muda menceburi bidang perniagaan ‘mobile’ (bergerak) dari rumah ke rumah dengan lebih fleksibel, murah dan mudah bagi mereka yang baru menapak dalam dunia perniagaan.

Najib melahirkan perasaan gembira melihat rakan dalam talian begitu bersemangat membincangkan masa depan negara khususnya untuk Bajet 2018 yang akan dibentangkan penghujung Oktober ini.

“Inilah yang saya sentiasa tekankan dalam kepimpinan saya, yakni pendekatan dari bawah ke atas, atau ‘bottom-up’ apabila menggubal atau merancang sesuatu dasar. Suara dan aspirasi majoriti rakyat akan sentiasa menjadi panduan kepada kerajaan dalam usaha membawa Malaysia ke arah status negara maju dan berjaya,” katanya.

Beliau juga mempelawa rakyat Malaysia untuk mengemukakan idea dalam pembentukan Bajet 2018 melalui https://bajet2018.najibrazak.com

_ WD MY