AYER KEROH, 17 DIS – KELUAR….. Datuk Seri Idris Haron menyambut baik pelawaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Rahim Tamby Chik untuk bertemu dan bermuzakarah dengannya mengenai hala tuju kerajaan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, beliau bersikap terbuka untuk menyertai pertemuan itu demi kelangsungan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini, khususnya di Melaka.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Ketua Menteri tidak berhasrat untuk keluar daripada UMNO serta menyertai mana-mana parti politik lain.

“Sehingga kini, saya masih berjuang dalam UMNO dan tidak terlintas pun untuk keluar parti.

“Namun, jika ditakdirkan tiada rezeki saya untuk terus berada dalam UMNO dan menyebabkan keluar parti, ia sebenarnya bukan disebabkan oleh Tan Sri Rahim, tetapi berpunca daripada beberapa perkara, termasuk kepincangan dalam pentadbiran serta pengurusan Badan Perhubungan UMNO Melaka sendiri,” katanya.

Semalam, Rahim dilaporkan mahu bertemu dengan dua lagi bekas Ketua Menteri iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Idris bagi memberi penjelasan mengenai hala tuju BERSATU.

Langkah itu susulan penyertaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu ke parti berkenaan yang dianggap sebagai wadah alternatif untuk memartabatkan semula orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Mohd Ali bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas pelawaan itu.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, berkata kepincangan dalam UMNO negeri yang dimaksudkannya adalah sikap lepas tangan kepemimpinan parti terhadap mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.

“Sehingga kini, tiada sebarang usaha dibuat untuk menarik semula sokongan rakyat meski pun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional tumbang, sudah lama berakhir,” katanya. – WD MY